Photobucket

Nikmat Di sebalik Ujian dan Bala dari Allah

Assalamualaikum..w.b.t...Salam Sayang buat sahabat dan pengunjung SweetbajuKurung..


Suatu hari, tiba-tiba Allah Taala menentukan turunnya bala ke atas diri dan keluarga kita. Hati dan perasaan kita gagah mencari dan bertanya; Apakah salah dan dosa yang telah kita lakukan? Mengapa begitu susah untuk menenteramkan hati dengan berprasangka baik kepada Allah Taala?

Kita berusaha memujuk diri dengan satu kefahaman bahawa bala dan ujian itu akan Allah Taala balas dengan sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang telah hilang di tangan anda. Allah SWT sentiasa memilih yang terbaik untuk diri kita.

Adakah patut kita mendahului Allah SWT dalam setiap pilihan-Nya? Manusia berkata dalam hati: ”Alangkah eloknya jika begini dan begini.” Adakah manusia itu mengetahui sepertimana Allah SWT Maha Mengetahui? Yang sehelai daun gugur di serata bumi ini pun tidak akan gugur kecuali dengan pengetahuan-Nya? Alangkah naifnya manusia jika ia merasa dirinya lebih tahu apa yang terbaik buat dipilih.

Saidina Umar bin al-Khattab RA pernah merasa berputus asa ketika kemenangan Islam tak jua muncul. Padahal di sisi beliau ada Rasulullah SAW, kekasih Allah SWT. Rasa putus asa Umar ini jauh lebih bernilai daripada rasa putus asa kita yang kehilangan dunia, anak atau isteri.

Rasa putus asa Umar adalah mewakili Islam dan kesetiaannya kepada Allah dan Rasul-Nya. Manakala rasa putus asa kita mewakili kepentingan dan ego dalam diri sendiri. Umar meratap sedih: ”Wahai Rasulullah bukankah kamu utusan Allah? Bukankah Agama ini benar?” Rasulullah SAW menguatkan semangat sahabatnya:

”Sesungguhnya Aku adalah seorang hamba Allah dan sudah tentu Dia tidak akan membinasakan diriku.” (Sirah Nabawiyah oleh Dr Mustafa al-Sibaie)

Kata-kata keramat baginda SAW ini sudah selayaknya menghiasi hati orang mukmin yang bergantung sepenuhnya kepada Allah Taala. Jika kita mahu menelusuri selok belok kehidupan ini, ujian dan cabaran itu sebenarnya membuat anda menjadi lebih kebal. Tak mudah goyah dan mampu melompat lebih tinggi. Orang yang memenangi pertarungan itu sebenarnya bukan yang kuat tetapi yang paling mampu menahan sakit. Lihatlah kepada mereka yang telah berjaya. Di atas kesakitan itu mereka membina kekuatan, rela tidak tidur untuk kerja yang perlu diselesaikan. Ada yang bertahan mengesat air mata merindukan keluarga yang jauh demi tanggungjawab yang harus dipikul. Mereka yang berjaya begitu disiplin dan menghargai kesakitan yang diderita. Sudah menjadi sunnatullah hidup ini penuh onak dan duri. Allah Taala menguji siapakah yang paling baik imannya dan paling reda dengan qadak dan qadar-Nya.

Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Al-Iman wal Hayah menyatakan: ”Tidak mungkin manusia dapat menghindarkan diri dari pelbagai kesulitan, begitulah kenyataan hidup, ramai yang bersua dengan kegagalan, ditinggalkan kekasih, penyakit yang menyerang tubuh, kehilangan harta benda dan seterusnya. Kemudian beliau mengambil hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Perumpamaan orang beriman yang ditimpa ujian bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilang karatnya dan tinggal yang baiknya saja.”


Beliau juga meminjam kata-kata seorang ulama: ”Setiap kali aku ditimpa ujian duniawi, terbayang olehku tiga kurniaan Tuhan. Yang pertama, cubaan itu tidak menjejaskan agamaku. Yang kedua, aku tidak ditimpa bahaya yang lebih besar dari itu. Yang ketiga, aku mendapat pahala dari Allah SWT kerananya.

Betapa indahnya ungkapan semangat yang mencerminkan kekerasan hati orang beriman. Sepertimana kata-kata Saidina Urwah bin al-Zubair RA saat menghadapi sakit sehingga anggota badannya diamputasi dan kematian anak lelakinya: ”Ya Allah, di atas kesedihan ini hamba memuji-Mu, Engkau telah memberiku tujuh orang anak, lalu Engkau mengambilnya satu. Aku tidak menyesal, bukankah Engkau tinggalkan untukku enam orang lagi?

Kaki dan tanganku semuanya empat dan Engkau hanya ambil satu saja daripada mereka. Bukankah ada tiga lagi yang sepatutnya aku syukuri? Kalau Engkau yang mengambil maka Engkau juga yang memberi. Kalau Engkau yang menurunkan bala, sesungguhnya Engkau juga yang menyelamatkan.”

Setelah diasak dugaan barulah manusia sedar bahawa dirinya amat lemah dan tidak berdaya. Itulah hikmah sebenar mengapa Allah SWT menguji, supaya tumbuh jiwa hamba pada diri kita. Agar tiada rasa ego yang melampau dan menganggap akulah yang kuat lalu menzalimi orang lain. Kerana ada Yang Maha Kuasa yang serta merta boleh merenggut ubun-ubunnya dan menghapuskan apa saja yang dimiliki.

Oleh itu sudah sepatutnya manusia berwaspada apabila dia rasa selesa dengan kenikmatan saja tanpa merasa diuji dengan bala dan musibah. Sebab begitulah tanda-tanda orang yang lalai hatinya dari mengingati Allah SWT. Sentiasa aman dan selesa padahal dia melakukan kejahatan.

Firman Allah Taala yang bermaksud: ”Katakanlah wahai Muhammad: Mahukah Kami khabarkan kepadamu tentang orang-orang yang amat merugi perbuatannya? Iaitu orang-orang yang telah sesat perbuatannya sewaktu hidup di dunia sedangkan mereka mengira bahawa perbuatannya itu adalah kebaikan.” (Surah Al-Kahfi: 103-104)

Manusia hanya boleh merancang, Allah SWT jua yang menentukan. Jika seorang bapa kehilangan anaknya nescaya Allah SWT membalas dengan Baitul Hamdi (sebuah istana khusus di syurga) kerana kesabarannya. Bagaimana pula orang yang cekal di atas bala yang lebih teruk daripada itu? Balaslah ujian Allah SWT dengan lafaz pujian dan syukur kepada-Nya, kerana ia tanda kasih sayang Allah Taala ke atas diri kita.

Credit to

No Response to "Nikmat Di sebalik Ujian dan Bala dari Allah"

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

SweetBajuKurung Copyright © 2009 Fashionzine is Designed by Ipietoon for Bie Blogger Template
In Collaboration With Teen Celebrities