Photobucket

Kisah Kejayaan Bekerja Dari Rumah

Saya copy paste kisah kejayaan disini sbgai panduan dan sumber inspirasi kpd saye...dan juga kpd kengkawan yg mempunyai impian untuk berjaya , tidak kira ape jua bidang yang di minati...yang penting ade kesungguhan....insyaallah...

Sumber petikan :http://www.ehomemakers.net/my/article.php?id=75
============================================================== Dari Menjahit Butang Kepada Mempunyai 12 Butik
============================================================== Pejabat di tingkat dua Wisma Mahamewah, Jalan Sungei Besi di Kuala Lumpur dipenuhi dengan berbaris-baris pakaian yang disusun rapi. Sepasang baju baldu dipenuhi manik berkilat menghiasi badan sebuah patung, manakala sebuah patung lagi dipakaikan blaus berwarna krim berleher bot yang dipadankan dengan sepasang skirt hitam bercorak viskosa. Beberapa meter dari situ, sepasang jeket kelabu yang kemas sedang diberi sentuhan terakhir.

Seorang pekerja melangkah masuk ke bilik itu, membawa lebih banyak lagi pakaian yang elegan pelbagai corak dan meletakkannya berhampiran sebuah cermin besar di dinding. Seorang penulis risalah duduk di satu sudut, khusyuk melihat risalah yang memaparkan fesyen terbaru dari butik itu.

Ini adalah situasi biasa di Q-Corporation Sdn. Bhd. Pakaian-pakaian ini, setiap satunya dijahit dengan teliti untuk memaparkan label eksklusif, MS. READ, akan dipamerkan di salah satu daripada dua belas butik MS. READ. Kesemua butik MS. READ berada di kompleks membeli belah ternama seperti Mid Valley Megamall, Jaya Jusco dan Starhill, dan sering dikunjungi oleh orang-orang kaya.


Ini sungguh berbeza pada awal 80an, semasa Helen Read bekerja dari rumah, bertungkus-lumus dengan benang dan jarum untuk memberi sentuhan terakhir kepada sehelai blaus.

“Saya bermula dengan menjahit butang di rumah,” kata pengarah urusan MS. READ, yang baru-baru ini dicalonkan untuk anugerah Ernst & Young Woman Entrepreneur of the Year 2002. “Saya melakukannya ketika anak sulung saya, Benjamin, tidur di buaiannya. Setiap hari saya terpaksa menyiapkan satu beg penuh pakaian di mana setiap blaus mempunyai tujuh biji butang!”

Helen percaya bahawa cabaran yang paling besar yang terpaksa dihadapi oleh seorang wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah ialah ketiadaan sokongan dari keluarga. Kadang kala sepatah kata-kata boleh menghancurkan semangat seseorang. “Saya datang dari keluarga yang berada, dan semua orang sangat terkejut apabila saya memulakan perniagaan menjahit butang dan menerima pendapatan antara dua hingga tiga ratus ringgit sebulan! Mereka sering tertanya-tanya mengapa saya bekerja begitu kuat untuk mendapatkan pulangan yang sedikit.”

“Salah satu pelajaran yang saya dapati dari pengalaman saya ialah tiada tugas yang harus dianggap mudah dan remeh. Setiap tugas memerlukan perhatian yang penuh. Saya lakukan yang terbaik dan tidak pernah mengabaikan kualiti.”

Pada pendapat Helen, wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah harus dipuji dan diberi penghargaan kerana tanggungjawab yang mereka pikul. “Bayangkan, satu minit mereka menguruskan keperluan rumah dan sesaat kemudian mereka memberi perhatian terhadap bisnes pula. Ianya memerlukan disiplin dan tahap profesionalisma yang tinggi untuk menukar peranan antara seorang ibu, kakak, isteri dan ahli perniagaan. Saya sendiri berpendapat bahawa seorang usahawan dari rumah yang berjaya mempunyai semua kemahiran yang diperlukan untuk satu jawatan tinggi di sesebuah syarikat.”

Sebelum menceburi perniagaan pakaian, Helen merupakan ketua unit housekeeping di sebuah hotel terkemuka, tetapi dia telah meletakkan jawatan kerana waktu kerja yang panjang. Walau bagaimanapun, dia masih tidak gembira kerana terpaksa bergantung kepada orang lain dari segi kewangan.

Peluang untuk bekerja dari rumah datang tidak lama setelah dia menjadi rakan kongsi di sebuah syarikat pembuat pakaian. Dua orang rakan kongsi yang sedia ada memerlukan lebih kapital dan memujuknya untuk melibatkan diri sebagai “sleeping partner” di Q-Corporation. Tawaran ini bermakna dia tidak perlu patuh pada waktu kerja yang ketat. Dia mula bekerja dalam waktu yang tetap hanya apabila anaknya, Benjamin, mula memasuki tadika pada umur empat tahun.

“Saya tidak memerlukan wang, tetapi saya mahukannya,” katanya. “Memperolehi pendapatan, tidak kira sekecil manapun, menaikkan semangat saya. Ini bermakna saya mempunyai wang sendiri yang boleh saya belanjakan mengikut kehendak saya. Dan waktu yang fleksibel membolehkan saya meluangkan masa bersama anak saya.”

Dalam tahun 1982, salah seorang rakan kongsi beliau berpindah ke Ipoh. Helen membeli sahamnya di syarikat itu, dan kemudian, seorang lagi rakan kongsinya turut menjual sahamnya, lantas memberikan beliau kuasa penuh di Q-Corporation.

Berada di atas bermakna tanggungjawabnya juga bertambah. Tetapi sedang Helen belajar selok-belok perniagaan dan aspek-aspek pengurusan syarikat, krisis pula berlaku: perkahwinannya berakhir dengan perceraian. Tidak lama kemudian kegawatan ekonomi pula berlaku.

“Keluarga saya terpaksa mengikat perut. Ayah saya kehilangan banyak wang apabila nilai sahamnya jatuh. Dua orang adik-beradik saya yang sedang belajar di luar negara terpaksa pulang ke rumah.”

Lebih teruk lagi, Helen tidak mampu untuk membayar balik pinjaman bank dalam waktu yang ditetapkan. Ini kerana dia tidak dapat menuntut bayaran daripada emporium-emporium di mana pakaiannya dijual kerana mereka juga menghadapi masalah kewangan. Oleh kerana itu, dia telah menerima surat daripada bank yang menyatakan bahawa mereka terpaksa berhenti memberikannya kredit dan terpaksa menutup syarikatnya.

Helen mengambil langkah proaktif untuk memperbaiki situasi ini dengan menulis surat kepada pengerusi bank tersebut dan akhirnya berjaya mendapatkan sambungan pinjaman. Satu pelajaran penting yang dipelajarinya ialah kesungguhan amat penting dalam menjalankan perniagaan.

“Pengalaman ini mengajar saya untuk lebih berhati-hati dalam pengurusan kewangan. Sebelum ini, saya tidak begitu tegas dalam menuntut bayaran kerana saya lebih suka menumpukan tenaga saya kepada aspek pengeluaran. Hari ini, dua fokus penting saya ialah pengeluaran dan pembayaran.”

Impian Helen untuk memperolehi labelnya sendiri menjadi kenyataan pada 1997 apabila pusat membeli belah Jaya Jusco, menawarkannya ruang.

Sebelum menerima tawaran tersebut, dia mengkaji struktur pembeli. Selama dua minggu dia memerhatikan orang ramai. “Saya dapati ada ramai wanita bertubuh besar yang tidak muat saiz biasa iaitu saiz 8 – 12. Saya memberitahu pihak Jaya Jusco bahawa saya hanya akan menjual pakaian saya di sana jika saya dapat memasuki pasaran eksklusif iaitu saiz 12 – 20.”

Sekali lagi, sikap kesungguhan Helen terbukti. Pihak pengurusan mengalah dan perjanjian pun dicapai. Lima tahun dan dua belas buah butik kemudian, keputusannya untuk menempa nama di pasaran mereka yang bertubuh besar terbukti merupakan satu tindakan yang bijak. Pembabitannya di pasaran adalah besar memandangkan pakaian siap untuk mereka yang bersaiz besar agak sukar didapati.

Kelebihan Helen ialah pakaiannya direka untuk memperagakan kecantikan wanita. Ia direka untuk wanita moden, tanpa mengabaikan faktor keselesaan dan praktikal. Butiknya juga menyediakan khidmat pengubahsuaian dengan sedikit bayaran.

Sebagai seorang dermawan, khidmat Helen menjangkau kepentingan keluarga dan rakan-rakan. Beliau bergiat aktif dalam kumpulan sokongan ibu-ibu tunggal dan baru-baru ini beliau berada di Kenya untuk memberi sokongan kepada kanak-kanak yang menghidap AIDS.

Ini merupakan satu permulaan yang kecil yang menjurus kepada peluang-peluang yang lebih besar. Helen mengaku bahawa pengalamannya sebagai usahawan dari rumah telah mengajarnya perkara-perkara penting dalam menangani pelbagai tugas. Dia kini telah berjaya, dan segala-galanya bermula dengan menjahit butang.

No Response to "Kisah Kejayaan Bekerja Dari Rumah"

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

SweetBajuKurung Copyright © 2009 Fashionzine is Designed by Ipietoon for Bie Blogger Template
In Collaboration With Teen Celebrities