Photobucket

Program Seni Reka Fesyen

JOHOR BAHRU 26 Okt. - Minat yang kian meningkat masyarakat negara ini terhadap fesyen membuka ruang kepada Kolej Komuniti Yayasan Pendidikan Johor (KKYPJ) menawarkan program pengajian seni reka fesyen.

Pengurus KKYPJ Batu Pahat, Khairulazli Sharifuddin berkata, program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dan setakat ini berjaya melahirkan ratusan graduan dalam lapangan itu.

''Sebahagian mereka kini telahpun menjadi pengusaha butik di beberapa buah pusat membeli-belah di bandar-bandar dan pekan negeri ini.

''Tidak kurang pula yang diambil bekerja di butik-butik milik pereka fesyen ternama tanahair seperti Razwan Razwil dan Annie Wong," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Khairulazli berkata, selain itu ramai juga lepasan kolej itu menjadi tenaga pengajar seni reka fesyen di institusi institusi latihan seperti Giat Mara selain menyambung pelajaran ke peringkat diploma di Kolej Teknologi Kreatif LimKokWing dan Kolej Shahputra.

Katanya, para pelajar diiktiraf berkebolehan apabila rekaan masing-masing sering terlibat dalam pentas catwalk dan pertunjukan fesyen yang diadakan di bandaraya Johor Bahru seperti di Persada Johor dan Hotel New York.

''Para pelajar ini tidak kekok menggayakan ciptaan masing-masing membuatkan ramai pengunjung tidak menyedari bahawa persembahan fesyen tersebut sebenarnya dijayakan oleh para pelajar dan tenaga pengajar dari sebuah kolej komuniti," katanya.

Menurutnya, kolej yang terletak di Jalan Tembaga, Kampung Kenangan Dato' Onn, Batu Pahat itu menawarkan program-program peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1-3 dalam bidang Pembuat Pakaian Wanita dan Pembuat Pakaian Lelaki, kedua duanya mengambil tempoh dua tahun pengajian.

Katanya, syarat kemasukan ke kolej itu amat mudah iaitu terbuka kepada semua lepasan SPM dan warganegara Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.

''Dengan syarat kemasukan yang amat mudah ini hampir sesiapa sahaja dapat mengikutinya.

''Oleh itu saya ingin menggesa lepasan SPM dan mereka yang layak supaya mengambil peluang mengikuti program yang mempunyai prospek besar ini dengan memohon menyertai sesi pengambilan kami pada Disember ini," katanya.

Menurutnya, tenaga pengajar kolej itu berpengalaman luas dalam bidang senireka fesyen dengan sebahagian merupakan lepasan Sekolah Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Beliau juga memberitahu, pinjaman pembelajaran turut disediakan meliputi pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) serta dari pihak Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).

Khairulazli berkata, pelatih yang mengikuti Sijil Pembuat Pakaian Wanita melalui tiga tahap modul pembelajaran.

Katanya, tahap pertama ialah kaedah pengendalian peralatan jahitan, mengubah suai dan baik pulih pakaian serta mereka cipta pakaian wanita seperti baju kurung tradisional, baju kurung moden, baju kanak-kanak dan blaus.

Menurutnya, tahap kedua pula, para pelatih akan diajar membuat jubah, baju kebaya, jaket, jumpsuit, cheongsam, baju kurung Kedah manakala di tahap ketiga, mereka akan mendalami bidang ciptaan fesyen seperti jaket dan kot, gaun malam, sulam tampal dan berkomputer.

''Tahap ketiga lebih kepada penghasilan ciptaan fesyen pakaian wanita seperti gaun malam, gaun pengantin, jaket dan kot selain ilustrasi fesyen berkomputer. Mereka juga akan diajar aspek pengurusan pekerja, pentadbiran dan pengeluaran," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai kursus-kursus yang ditawarkan kolej ini bolehlah menghubungi Khairulazli di 012-2647652.

Sumber: http://www.utusan.com.my

No Response to "Program Seni Reka Fesyen"

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
 

SweetBajuKurung Copyright © 2009 Fashionzine is Designed by Ipietoon for Bie Blogger Template
In Collaboration With Teen Celebrities