Tarikh: 27 Mac 2012
Kecintaannya dalam bidang fesyen membuahkan hasil. Bermula daripada minat dan hobi ia kini menjadi kerjaya. Menariknya profesion itu membolehkan dia sentiasa mendampingi anak-anak tersayang.
Selepas mendirikan rumah tangga dengan lelaki berbangsa Arab dari Iraq, wanita ini tidak berpeluang untuk bekerja di mana-mana organisasi. Sebagai isteri yang taat, dia akur dengan perintah suami.
Wanita yang mesra dengan panggilan Yasalma ini meminta suami tercinta membelikan sebuah mesin jahit dan komputer. Katanya dia tidak mahu mensia-siakan masa tanpa melakukan apa-apa.
Yasalma mengisi masa lapang dengan mereka pakaian dan mengambil gambar pakaian tersebut sebelum dikongsi bersama teman-teman di laman sosial facebook.
“Asalnya saya saja suka-suka isi masa lapang tapi bila ramai teman-teman memberi galakan dan mula berminat membeli pakaian rekaan saya, mulalah timbul idea untuk menjual rekaan tersebut,” ceritanya bagaimana bermula label Yasalma Collection.
Promosi mulut ke mulut di antara teman-teman telah membuka pintu rezeki kepada Yasalma apabila rekaan pakaiannya mula mendapat perhatian pihak media dan selebriti.
Selain bersyukur atas rezeki yang dikurniakan Ilahi, ibu yang bakal melahirkan anak ketiganya pada bulan Jun depan turut menikmati kelebihan sebagai ibu yang bekerja dari rumah.
Rutin 24 Jam Bersama Anak-anak
Mungkin sebelum ini tidak pernah terlintas di fikirannya untuk membina kerjaya sebagai pereka fesyen selepas menamatkan pengajian dalam Bahasa Arab dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Namun selepas serius pada tahun 2010, Yasalma semakin seronok dengan kerjayanya yang banyak memberikan pengurusan masa lebih fleksibel.
Katanya paling seronok dan mencabar dengan kerjayanya ini adalah membuat kerja sambil menjaga anak-anak.
Seronoknya kerana saya dapat menjaga dan menyediakan keperluan anak-anak sepanjang hari. Menghabiskan masa dengan mereka memang saat membahagiakan. Apatah lagi saya memang menyusukan anak-anak secara eksklusif sampai usia mereka dua tahun.
Menjahit atau melayan pelanggan secara online sambil menyusukan anak memang perkara biasa,” tutur ibu yang menyokong kempen penyusuan susu ibu ini dengan ceria.
Bagaimanapun ada juga cabaran sebagai ibu yang bekerja dari rumah terutama yang menjahit sepertinya. Menurut Yasalma tugas menggunting kain untuk membuat pakaian pelanggan boleh memakan masa disebabkan kerenah anak-anak yang sedang lasak membesar.
“Biasanya tugas menggunting hanya mengambil masa 10 minit tetapi disebabkan anak-anak akan duduk dan bermain di atas kain yang hendak digunting menjadikan tugas itu berpanjangan sehingga satu jam,” katanya yang akan menghabiskan tugas menjahit sebaik mungkin apabila anak-anak sedang tidur.
Sementara itu jika ada janji temu dengan pelanggan, dia akan mengatur masa yang sesuai supaya boleh bergilir dengan suami untuk menjaga anak-anak. Sememangnya Yasalma bertuah kerana suaminya yang memiliki perniagaan minyak wangi turut mempunyai masa kerja yang fleksibel.
Puas Hati
Unik dan menarik! Itulah tanggapan awal tatkala melihat pakaian anak-anak Yasalma. Sebagai pereka fesyen sudah tentu satu kelebihan buatnya untuk membuat apa sahaja pakaian yang terlintas di fikiran.
Sambil tersenyum Yasalma mengganguk bersetuju yang setiap helai pakaian yang tersarung di tubuhnya dan anak-anak adalah hasil tangannya sendiri. Baginya mereka dan menjahit pakaian sendiri adalah satu kepuasan.
“Semua pakaian kami memang saya reka dan jahit sendiri termasuklah pakaian basahan di rumah. Biasanya baju anak-anak tiada spesifik tema tertentu. Saya lebih fikirkan keselesaan mereka,” ujarnya yang turut terfikir untuk mengkomersilkan rekaan pakaian kanak-kanak satu hari nanti.
Penulis buku ‘Oh Mudahnya Buat Baju Kurung’ terbitan Alaf 21 ini turut menghasilkan pakaian khas untuk dirinya sepanjang hamil. Katanya pakaian yang dibuat itu tetap boleh dipakai walaupun selepas melahirkan anak. Selain selesa dipakai, dia turut menitik beratkan rekaan pakaian yang menarik, trendy namun tetap sopan digayakan oleh semua wanita.
Berkongsi bakat dan kebolehan yang ada dengan wanita lain yang ingin menghasilkan jahitan sendiri telah mendorong Yasalma menganjurkan bengkel jahitan.
Katanya, bengkel yang memakan masa sehari itu berjaya menghasilkan peserta yang mampu menjahit pakaian mereka sendiri. Dia seronok dan puas hati melihat orang lain turut mampu menjahit dan mereka pakaian sepertinya.
Masak Untuk Keluarga
Walaupun sedang berbadan dua namun dirinya tetap aktif apatah lagi melayan anak-anaknya yang sangat lasak berlari ke sana sini. Ibu ini tetap tersenyum dan sesekali memanggil anak sulungnya dalam bahasa Arab.
Katanya jika dahulu semasa hamil anak pertama, trimester pertama dia mengalami alahan teruk tetapi semasa anak kedua dia tiada sebarang alahan malah mampu menjahit seperti biasa.
“Lucu pun ada juga kerana saya boleh menjahit lagi sampai saat hendak bersalin. Sebaik pulang daripada hospital saya boleh sambung balik jahitan tersebut,” bicaranya sambil melemparkan senyuman manis.
Biarpun sibuk menyiapkan pakaian tempahan pelanggan tetapi dia tidak lupa menyediakan makanan hasil air tangannya untuk suami dan anak-anak.
Istimewanya hidangan mereka sekeluarga bersilih ganti di antara menu Melayu dan Arab. Antara masakan tradisi Iraq yang dipelajari daripada ibu mertuanya adalah ‘Bamia’ iaitu sejenis masakan daging atau ayam yang dimasak menggunakan pes tomato.
“Biasanya dalam seminggu adalah dua ke tiga kali saya masak hidangan ini. Kasihan juga kalau setiap hari suami kena makan makanan Melayu sahaja,” ujarnya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment