Wednesday, August 26, 2009

Anugerah Tokoh Wanita Sumber Inspirasi

Menjahit di rumah jana pendapatan lumayan.
==========================================
Photobucket



Tiga Tokoh Wanita 2007 manfaat kemahiran dimiliki raih pendapatan cecah empat angka sebulan

BERGELAR suri rumah bukanlah penghalang untuk meraih pendapatan lumayan. Jika bijak menggunakan kemahiran khususnya menjahit, tidak mustahil golongan ini boleh menikmati pendapatan setaraf mereka yang bekerja sepenuh masa di pejabat.
*BANGGA: Tengku Puan Pahang bersama penerima Anugerah Tokoh Wanita 2007, dari kiri, Ruzila, Rubiah, Horiyatossaadiah dan Goet Lee.
Ibarat sambil menyelam minum air, kerja di rumah lebih menguntungkan kerana dapat menumpukan perhatian kepada keluarga disamping menambah pendapatan isi rumah. Hakikat ini terbukti apabila tiga wanita, Horiyatossaadiah Elias, 50, Rubiah Abd Rahman, 56, dan Ruzila Kasim, 32, dinobatkan sebagai Tokoh Wanita 2007, baru-baru ini oleh Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) dan Mostwell Sdn Bhd.

Anugerah disampaikan oleh Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Bermula sebagai hobi semata-mata, Horiyatossaadiah tidak pernah terfikir kemahiran menjahit yang dimilikinya itu mampu mengubah kehidupannya. Ibu kepada dua anak itu yang pernah bekerja sebagai operator pengeluaran, kini meraih pendapatan RM3,000 sebulan hasil mengambil upah menjahit pakaian wanita dan lelaki serta barangan keperluan rumah seperti langsir dan cadar.

“Semasa bekerja di kilang dulu memang tidak pernah terfikir untuk ketengahkan bakat menjahit. Malah saya tidak pernah belajar menjahit secara rasmi dari mana-mana institusi. Minat memang ada tetapi hanya mula menjahit apabila berumah tangga kerana sedikit sebanyak terpaksa menjahit baju untuk suami dan anak-anak. Saya hanya mula mengambil upah menjahit sedikit demi sedikit daripada kawan-kawan mahupun jiran apabila berhenti kerja dan bergelar suri rumah sepenuh masa,” katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan itu.

Bermodalkan RM2,000, Horiyatossaadiah memulakan perniagaan menjahit di rumah dengan satu mesin menjahit yang dibelinya. Mesin menjahit manual itu digunakan sepenuhnya untuk menjahit pakaian terutama baju kurung dan baju Melayu yang ditempah pelanggan.

Sebagai ibu, Horiyatossaadiah memastikan segala urusan rumah tangga termasuk anak-anak diutamakan sebelum memulakan kerja menjahit.

“Biasanya saya bangun awal pagi untuk menyiapkan kerja rumah seperti memasak, membasuh pakaian dan mengemas rumah. Apabila segala-galanya diselesaikan, barulah saya mula menjahit. Hari biasa lazimnya tidak banyak tempahan tetapi saya masih mampu mendapat upah menjahit dengan pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan. Jumlah ini lebih tinggi pada Hari Raya yang biasanya membuatkan saya lebih sibuk daripada biasa,” katanya.

Meningkatkan kemahirannya, Horiyatossaadiah tidak jemu menimba ilmu bidang jahitan seperti teknik jahitan sulaman dan sulam tampal. Kaedah ini juga digunakan bagi menghasilkan barangan lain seperti langsir, cadar dan pelbagai keperluan rumah lain yang turut mendapat permintaan daripada pelanggannya.

“Hari ini terdapat pelbagai teknologi dalam mesin menjahit. Walaupun kemahiran menjahit bergantung sepenuhnya kepada individu tetapi kehadiran mesin menjahit yang canggih tidak dinafikan membantu memudahkan kerja menjahit. Misalnya mesin sulaman, ia mempercepatkan kerja menyulam dengan sistem pengkomputeran yang hebat. Justeru, amat penting bagi usahawan suri rumah meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mengendalikan mesin moden ini bagi menghasilkan jahitan lebih bermutu tinggi,” katanya.

Bergelar pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) dalam bidang jahitan, Rubiah tidak pernah terfikir mampu memiliki pendapatan lumayan mencecah empat angka seperti hari ini. Ibu kepada tiga anak yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini, mula bekerja dari rumah apabila terpaksa berhenti kerja dari kedai menjahit setelah mendirikan rumah tangga sejak dua dekad lalu. Selain menjahit baju untuk lelaki dan wanita, Rubiah turut mengembangkan kemahirannya dengan menjahit sulam tampal dan jahitan sulaman bersilang.

“Bekerja makan gaji memang tidak semewah bekerja sendiri. Saya tidak pernah terfikir kemahiran ini mampu memberikan pendapatan lumayan tetapi itulah hakikat yang saya alami hari ini. Saya mengambil upah menjahit di rumah selepas berhenti kerja kerana mengikut suami berpindah ke Pulau Pinang. Pada awalnya, pendapatan memang tidak tentu tetapi selepas dikenali pelanggan, saya mampu memperoleh RM 4,000 sebulan khususnya di hari perayaan seperti Hari Raya.

“Saya lebih senang bekerja di rumah sambil menjaga keperluan anak-anak dan suami. Lebih membakar semangat, suami turut memberikan sokongan dengan membantu menggosok kain sebelum dijahit. Sebagai tanda terima kasih, saya bagi upah 50 sen bagi setiap kain yang digosok kepadanya,” katanya.

Sementara itu, Ruzila yang masih bujang turut menggunakan kemahiran menjahit bagi mencari pendapatan tambahan. Ruzila yang bekerja sebagai Penolong Pengurus Kewangan syarikat pemaju di Petaling Jaya, belajar menjahit secara sambilan ketika masih bergelar siswazah.

“Secara kebetulan, ketika melayari internet, saya terlihat peluang belajar menjahit di Epal menggunakan program kit permulaan dengan menggunakan mesin jahitnya. Saya beli mesin jahit Harmony bernilai RM 1,799 dan mendapat sijil menjahit kreatif. Setiap kali kursus, mereka ajar dua barang untuk dijahit. Kemahiran yang ada itu saya gunakan untuk menambah pendapatan dengan menjual hasil jahitan seperti beg, cadar, sarung kusyen dan sebagainya kepada rakan di kampus. Walaupun tidak seberapa, ia sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban membiayai pengajian saya,” katanya.

Walaupun kini berjawatan tetap, Ruzila masih meneruskan perniagaan kecil-kecilan. Memperluaskan pemasarannya, Ruzila mempromosikan produk yang dihasilkannya itu melalui internet. Ruzila percaya cara berkenaan mampu membawa hasil jahitannya ke peringkat global. Hasilnya, Ruzila kini mempunyai rakan niaga di Indonesia dengan menjual hasil jahitannya. Mereka juga berkongsi pengetahuan mengenai kaedah jahitan sulaman tampal dan sulam riben.

“Pengetahuan yang saya dapat ini juga berjaya mengembangkan perniagaan saya. Selain mengambil upah menjahit, saya kini lebih memberikan tumpuan untuk menganjurkan kelas menjahit kepada orang ramai di hujung minggu. Lazimnya saya tidak mengambil ramai peserta iaitu sekurang-kurangnya 10 orang bagi memastikan mereka dapat belajar dengan lebih selesa. Setiap kelas berharga RM 110 seorang dan mereka boleh belajar sehingga pandai tanpa had masa. Walaupun mungkin mengambil masa panjang, saya tidak berasa rugi berkongsi ilmu pengetahuan,” katanya.

Anugerah Tokoh Wanita 2007 adalah antara program PSJK dan Mostwell yang menganjurkan Program perniagaan Berasaskan Di Rumah (HBB) untuk menjana pendapatan suri rumah. Ia bermatlamat menjana pendapatan suri rumah di samping mengangkat martabat seni jahitan sebagai kemahiran penting di mata umum selain membantu ibu bapa menangani masalah berkaitan penjagaan anak di rumah.

Bagi mencapai matlamat itu, turut dilancarkan pada majlis berkenaan adalah MAP Fabric Art Gallery di Puchong yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan produk hasil jahitan peserta program berkenaan.

Pengarah Urusan Mostwell, Fully Chye Goet Lee pada majlis berkenaan, berkata bagi mencapai matlamat itu, MAP Fabric Art Gallery adalah satu platform kepada ahli HBB memasarkan produk mereka dengan lebih berkesan.

“MAP memberi peluang ahli HBB mempamerkan produk yang dihasilkan mereka dan mempromosikan hasil jahitan masing-masing. Penubuhan MAP dapat membantu masyarakat memahami apakah itu seni fabrik dan dapat melihat hasil yang mampu dibuat olehnya.

Di galeri ini, pengunjung dapat melihat dan membeli pelbagai barangan berasaskan seni jahitan seperti sulam tampal yang diadaptasikan dalam bentuk beg tangan, kasut, cadar, penghias dinding dan sebagainya. Bukan setakat itu saja, kaedah pemasaran juga diperluaskan melalui laman web iaitu www.patchesoflove.com,” katanya.

sumber :Bharian.com.my

No comments:

Post a Comment